Astrazeneca, Sinovac dapat kelulusan khas dos penggalak 

0
2
Botol Vaksin AstraZaneca di PWTC.

Nilam Oshman 

VAKSIN AstraZeneca dan CoronaVac (Sinovac) mendapat kelulusan bersyarat sebagai dos penggalak kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas, yang telah menerima vaksin ‘primary series’ dari jenis yang sama (homologous). 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu dipersetujui Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini. 

Justeru, katanya, dos penggalak bagi vaksin AstraZeneca akan diberikan selepas enam bulan daripada penerimaan dos kedua vaksin tersebut. 

“Manakala bagi vaksin CoronaVac (Sinovac), dos penggalak akan diberikan selepas tiga hingga enam bulan daripada dos kedua diterima. 

“Pemberian dos penggalak bagi kedua-dua produk vaksin ini kepada kumpulan sasar tertentu akan diperincikan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B) dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata, mesyuarat sebelum itu bersetuju memberi kelulusan pendaftaran bersyarat bagi Covid-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection bagi pengilang ketiga iaitu SK Bioscience Co., Ltd., South Korea. 

Katanya, pemegang pendaftaran bagi vaksin ini adalah AstraZeneca Sdn. Bhd. PBKD sebelum ini telah memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi pengilang pertama iaitu AstraZeneca Nijmegen B.V., Netherlands manakala pengilang kedua adalah Siam Bioscience Co., Ltd., Thailand. 

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa. 

“la bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif. 

“KKM juga sentiasa komited dalam mempertingkat akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh PBKD,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here