Wujudkan RTC mini antara manifesto calon IMAN

0
1

MAHU mewujudkan sebuah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) mini bagi membolehkan masyarakat kampung memasarkan hasil pertanian selain menjadi ‘one stop centre’ agensi kerajaan antara manifesto yang akan diperkenalkan calon Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Abdul Aziz Osani Kasim.

Abdul Aziz Osani, 52, berkata turut menjadi perhatiannya adalah untuk memperbaiki kemudahan pengangkutan awam dengan menambah kekerapan perjalanan bas ketika ini yang hanya disediakan dua kali sehari sehingga menyukarkan urusan penduduk.

“Selain itu, masyarakat India juga mengalami masalah untuk pengebumian jenazah kerana terdapat isu laluan ke tanah perkuburan yang gagal diselesaikan sehingga ke hari ini.

“InsyaAllah, berbekalkan usaha saya turun padang mengenal pasti masalah penduduk di sini sejak tujuh tahun lalu, ianya tidak sukar kerana kebanyakan masalah sudah diketahui dan ada rancangan penyelesaian,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mengulas lanjut, Ketua Cawangan IMAN Machap Baru itu berkata, walaupun merupakan calon baharu bertanding, beliau bukanlah asing bagi penduduk di Machap yang sudah lama mengenalinya.

Malah, katanya, keputusan parti yang meletakkannya sebagai calon di DUN berkenaan diterima baik penduduk yang gembira kerana telah terbukti aktif dalam perbagai kerja kebajikan sebelum ini.

“Saya dilahirkan dalam keluarga peneroka di Kampung Machap Baru malah sudah menoreh getah sejak berusia 16 tahun lagi.

“Kehidupan saya memang bergelumang dengan kerja-kerja kampung menjadikan saya mudah didekati penduduk walaupun pendidikan saya hanyalah setakat Sijil Rendah Pelajaran (SRP),” katanya.

Namun jelasnya, keadaan itu tidak menjadi masalah bagi penduduk kampung kerana itu membuatkan mereka berasa lebih selesa untuk mendekatinya berbanding calon lain yang mungkin sukar memahami masalah kampung.

“Walaupun hanya sempat belajar setakat sekolah menengah, saya tidak malu kerana melihat ada kelebihan lain dalam diri seperti mampu bertutur dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Cina dan India yang merupakan tiga kaum utama dalam Keluarga Malaysia.

“Siapa tahu, mungkin kelebihan ini mampu menjadi ‘tuah’ kepada saya untuk menjadi wakil rakyat pertama dari IMAN biarpun sedar kekurangan jentera parti berbanding empat calon lain yang bertanding,” katanya.

DUN Machap Jaya yang sebelum ini disandang Datuk Ginie Lim Siew Lin (PH-PKR) bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru 20 November ini.

Selain Abdul Aziz, ia turut membabitkan, Ngwe Hee Sem (BN -MCA), Law Bing Haw (PH-PKR), Azlan Daud (Bebas) dan Tai Siong Jiul (PN- Bersatu) – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here