Wanita warganegara dijangkiti taun di Selangor

0
1
PUTRAJAYA, 23 Julai -- Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Indera Dr Sha'ari Ngadiman bercakap pada sidang media khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan status penularan pandemik COVID-19 di KKM hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

JABATAN Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesan satu kes kolera (taun) pada 21 Oktober lalu melibatkan seorang wanita warganegara berusia 56 tahun, yang berlaku di daerah Petaling, Selangor.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata hasil siasatan mendapati wanita itu mengalami gejala cirit birit teruk dan telah mendapatkan rawatan pada hari yang sama di sebuah fasiliti kesihatan swasta.

Katanya, wanita tersebut telah dirawat sebagai pesakit luar dan diambil sampel najis untuk dijalankan ujian.

“Keputusan ujian daripada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan menunjukkan kehadiran bakteria Vibrio Cholerae, serogroup 01, serotype Ogawa.

“Susulan daripada itu semua kontak rapat telah disaring termasuk pengendali makanan yang terlibat.

“Pengambilan sampel persekitaran juga telah dijalankan. Sehingga kini tiada tambahan kes positif Kolera dikesan. Kes (pesakit) juga telah sihat sepenuhnya setelah mendapatkan rawatan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Sha’ari berkata, siasatan lanjut telah dijalankan secara menyeluruh namun pihaknya tidak dapat mengenal pasti punca jangkitan dan tiada kes-kes baharu yang diterima sehingga kini.

Sehubungan itu, katanya, seiring dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JKNS ingin menegaskan bahawa penyakit kolera berupaya merebak dengan cepat dan boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat dengan segera.

“Justeru, masyarakat diseru untuk sentiasa minum air yang telah dirawat atau air yang telah dididihkan, sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan mencuci tangan, mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya mempunyai gejala Kolera dan tidak makan makanan mentah atau tidak dimasak sempurna.

“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor akan sentiasa memantau situasi semasa di negeri Selangor bagi membendung sebarang kemungkinan perebakan penyakit Kolera,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin meminta orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga apabila terdapat kes penyakit kolera dilaporkan di Selangor.

Kolera merupakan penyakit ‘enteric akut’ disebabkan bakteria ‘vibrio cholerae’ yang mana gejala awal adalah cirit-birit tanpa sakit, loya serta muntah dan boleh membawa kepada dehidrasi serta kematian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here