PM ziarah keluarga anggota bomba lemas akibat selamat mangsa banjir

0
1

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sempat meluangkan masa hari ini menziarah keluarga Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, anggota bomba yang meninggal dunia ketika membantu mangsa banjir di Melaka baru-baru ini.

Beliau menzahirkan rasa sedih melihat anak-anak anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah itu yang masih kecil.

“Masih ingat kejadian anggota bomba yang meninggal dunia membantu mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka baru-baru ini.

“Saya berpeluang bertemu keluarga Allahyarham Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Diya Che Jusoh di Melaka sebentar tadi.

“Anak-anak masih di usia kecil, sayu melihat mereka, saya berikan kata-kata semangat untuk teruskan cita-cita dan impian,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang 20 Oktober lalu, Mohd Diya dilaporkan tidak sedarkan diri selepas dihanyut arus ketika membantu mangsa banjir di Kampung Sungai Putat.

Anggota bomba terbabit disahkan meninggal dunia pada 3.11 pagi 21 Oktober lalu ketika dirawat di hospital.

Ismail Sabri berharap semua pihak bersama-sama sebagai sebuah Keluarga Malaysia dapat memberi kekuatan bagi keluarga arwah dalam menempuh dugaan ini.

Perdana Menteri mengadakan lawatan di beberapa lokasi sekitar Melaka, hari ini bermula dengan sarapan di Kota Melaka, kemudian ke Sungai Udang, Masjid Tanah, Selandar dan Rim di Jasin, sebelum pulang ke Kuala Lumpur. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here