CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Seri Idris Haron secara sinis mempelawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turun berkempen bagi PH.
Beliau berkata, tindakan itu bagi mengelakkan parti-parti dalam kerajaan berkecil hati terhadap Ismail Sabri yang mungkin berhati-hati ketika turun padang ke Melaka hari ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini.
“Saya pun tidak pasti Perdana Menteri (PM) nak kempen yang mana, takut kempen BN (Barisan Nasional) nanti, PN (Perikatan Nasional) pula kecil hati, bila PM kempen PN, nanti BN pula kecil hati, jadi PM tak kempen BN..tak kempen PN juga.
“Kempenlah PH, begitunya gaya yang saya nampak,” katanya sinis seperti dilaporkan Malaysiagazette, hari ini.
Bekas Ketua Menteri Melaka itu mengulas mengenai kehadiran Ismail Sabri yang turun ke sekitar Melaka dan sempat melawat beberapa kawasan DUN, hari ini.
Mengulas lanjut, Idris tidak menolak kemungkinan lawatan Ismail Sabri di Melaka hanyalah untuk menyampaikan konsep Keluarga Malaysia yang dicanang beliau.
“PM turun ini mungkin untuk menggalakkan pengundi mengundi secara berhemah dan PM tidak boleh terlalu ekstrem untuk menyokong BN kerana di dalam Kabinet beliau ada menteri PN. Jadi nak sokong PN pun tak boleh kerana beliau daripada BN.
“Kalau saya berada dalam kedudukan PM, saya turun sini saya bawa mesej Keluarga Malaysia pilihlah kerajaan yang tidak rasuah dan bersih, bertanggungjawab dan tidak mendiskriminasi.
“Kalau boleh pilih kerajaan yang tiada campur tangan daripada tangan-tangan ghaib,” katanya. – Malaysiapost

