Syaf Ziyad
CALON Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Low Ching Hong menggariskan tiga janji untuk memenangi hati pengundi menjelang 20 November ini.
Menurutnya, tiga perkara itu adalah memastikan kestabilan ekonomi; kemakmuran kehidupan; dan pembangunan infrastruktur merangkumi sektor pelancongan, komersial serta perumahan.
Beliau berkata, ia termasuklah melobi lebih banyak peruntukan komuniti untuk menyelenggara serta memajukan DUN berkenaan termasuk di kawasan-kawasan kampung seperti Kampung Lapan, Pengkalan Rama Pantai, dan Tengkera Pantai.
“Di bawah pelan kesejahteraan rakyat pula adalah menyediakan tempat parkir bertingkat, mengatasi masalah banjir kilat dan mewujudkan pusat aktiviti pelbagai guna untuk kegunaan masyarakat pelbagai kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Bilik Gerakan MCA Kota Laksamana, hari ini.
Mengulas lanjut Chin Long berkata, perkara terakhir adalah memperkasa pendidikan dan latihan vokasional termasuk melobi pembinaan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) kampus cawangan Melaka.
Sementara itu, menyentuh mengenai usaha merancakkan ekonomi peniaga, beliau berkata ia termasuklah merangka pelbagai usaha untuk meningkatkan ekonomi peniaga di Jonker Walk.
“Ini termasuk menyuntik unsur-unsur seni dan budaya di kawasan bersejarah sebagai nilai tambah merancakkan ekonomi peniaga di kawasan komersial di DUN ini termasuklah Jonker Walk,” katanya.
Jonker Walk sebelum ini dilaporkan semakin ‘tenat’ apabila semakin ramai peniaga terpaksa ‘gulung tikar’ ‘setelah kerugian kira-kira RM2.5 juta sehari.
Kerugian itu didedahkan oleh kerajaan negeri dengan mengambil kira jumlah pengunjung di lokasi berkenaan merosot seramai 10,000 orang sehari selepas negara dilanda pandemik Covid-19. – Malaysiapost

