SERAMAI 48 pengunjung yang sedang leka berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19, lewat malam tadi.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Datuk Azman Ayob, berkata kompaun keseluruhan bernilai RM265,000 itu dikeluarkan dalam Op Khas berkenaan.
“Premis tersebut telah melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Pemilik premis berkenaan telah dikenakan kompaun RM25,000, manakala 48 pengunjung telah dikenakan kompaun bernilai RM5,000 setiap individu menjadikan jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan RM265,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan itu seramai 49 orang pengunjung telah telah disaring ujian air kencing dan hasil keputusan mendapati seramai 13 individu didapati positif dadah dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Operasi seperti ini akan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa bagi membendung penularan wabak Covid-19 di kalangan warga Kuala Lumpur khususnya.
“Ia juga bagi membantu usaha kerajaan dalam menghentikan penularan Wabak Covid-19 dalam negara kita,” katanya. – Malaysiapost

