KJ minta rakyat berwaspada

0
1

KADAR kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah 1.04 iaitu paras tertinggi sejak Ogos lalu.

Susulan itu, orang ramai diminta supaya terus berwaspada dengan mengelakkan kawasan sesak dan golongan warga emas serta berisiko digesa mendapatkan suntikan penggalak.

Gesaan itu dibuat Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang berkongsi di laman Twitternya carta menunjukkan nilai kebolehjangkitan Covid-19 terkini berkenaan,

“Rt negara ialah 1.04. Pakai pelitup muka anda. Elakkan tempat yang sesak. Warga emas, terutamanya, perlu mendapatkan suntikan penggalak mereka apabila ia tersedia untuk mereka,” katanya.

Beliau turut memaklumkan dos penggalak ketika ini disyorkan kepada petugas barisan hadapan dan golongan yang berusia 40 tahun ke atas yang mempunyai komorbiditi.

“Kumpulan ini dicadangkan mengikut selang waktu tiga bulan selepas dos kedua bagi penerima vaksin Sinovac dan enam bulan bagi penerima Pfizer buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi penerima vaksin AstraZeneca (AZ) pula penilaian sedang dibuat dan polisi berhubung dos penggalak bagi penerimanya akan diumumkan tidak lama lagi.

“Selain dos penggalak, kerajaan masih meneruskan program pemberian vaksin kepada mereka yang belum menerima vaksin awal.

“Ini (contoh) komuniti pelarian Afghanistan diberikan suntikan vaksin di Kampung Baru, Kuala Lumpur,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here