KERAJAAN mengumumkan senarai ahli jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau yang turut menganggotai jawatankuasa khas itu mengumumkan ahli jawatankuasa lain iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Kamardin Hashim.
Jawatankuasa khas itu turut dianggotai Perunding Kanan Pakar Patologi Forensik RCSI & UCD (Kampus Pulau Pinang); Datuk Dr Bhupinder Singh Jeswant Singh, Profesor ulung Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Datuk Dr Looi Lai Meng, bekas Profesor Madya Universiti Sains Malaysia yang juga pengamal undang-undang, Datuk Dr P Sundramoorthy.
Ahli lain adalah Ketua Penolong Pengarah (D10) Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Senior Asisten Komisioner Azari Abd Rahman dan Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan PDRM, Senior Asisten Komisioner Mohammad Abd Hamid.
Menurut Wan Junaidi, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri akan menjadi urus setia bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi jawatankuasa khas berkenaan.
Beliau berkata, memorandum Jemaah Menteri berhubung penubuhan jawatankuasa khas itu termasuk terma rujukan, keanggotaan dan implikasi kewangan akan dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan dalam masa terdekat.
“Jawatankuasa ini akan mengemukakan dapatan dan syor-syor kepada mesyuarat jemaah menteri dalam tempoh enam bulan sebagaimana keputusan jemaah menteri pada 29 Oktober 2021,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Muhammad Adib.
Ia bagi mendapatkan keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan. – Malaysiapost

