Pandangan, keperluan rakyat harus dihargai dan dipenuhi, titah Yang di-Pertuan Agong

0
1

PANDANGAN rakyat sewajarnya dihargai dan keperluan mereka perlu dipenuhi, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah berpandukan semangat Keluarga Malaysia, rakyat diibaratkan sebagai sebuah keluarga dan setiap ahli dalam keluarga hendaklah dihormati.

Titahnya, sekiranya konsep itu diamati sebaiknya, semangat Keluarga Malaysia boleh membawa kepada penyatuan dalam sebuah negara yang wujud beraneka kepelbagaian.

“Jika dasar Keluarga Malaysia yang inklusif dan adil, digabungkan pula dengan semangat sebuah Keluarga Malaysia, beta percaya negara akan terus berdaya saing dan mencapai kemajuan yang lebih tinggi.

“Justeru, pelaksanaan semua program di bawah dasar Keluarga Malaysia hendaklah diteliti, diperhalusi dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Pandangan serta cadangan rakyat beta juga hendaklah diterima oleh agensi pelaksana dengan hati yang terbuka dan jiwa yang besar,” titahnya seperti dilaporkan Astro Awani.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Baginda turut bertitah agar setiap peruntukan dalam Bajet 2022 diurus tadbir dengan dengan penuh ketelitian agar dapat memberi impak optimum kepada negara khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan sosio-ekonomi.

“Negara terus mencatatkan prestasi pertumbuhan ekonomi yang semakin baik. Perkembangan ekonomi negara sebanyak 7.1 peratus pada separuh pertama tahun 2021, menunjukkan negara berada pada landasan yang betul dalam fasa pemulihan ekonomi.

“Prestasi baik ini hendaklah diteruskan. Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu terus meneroka strategi baharu yang berinovatif dan merangka bidang per-tumbuhan baharu bagi mencapai matlamat pembangunan lestari.

“Walau bagaimanapun, laporan Ketua Audit Negara tahun 2020 yang diterbitkan baru-baru ini telah melaporkan beberapa isu kerugian kepada kerajaan,” titahnya

Justeru Baginda menitahkan kerajaan supaya segera merangka strategi dan pendekatan yang lebih berkesan untuk menangani perkara tersebut agar ia tidak berulang lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here