Jika PN tewas di Melaka, Muhyiddin akan terus sokong PM? – Kit Siang

0
2

PENDIRIAN Perikatan Nasional (PN) akan teruji sekiranya tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada 20 November ini.

Veteran DAP Lim Kit Siang, berpendapat ketika itu pendirian Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin akan dapat dilihat sama ada terus menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau sebaliknya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, beliau turut akan mendesak Muhyiddin untuk menjelaskan pendirian PN kepada umum jika gabungan itu gagal menawan PRN Melaka.

Menurutnya, pendirian itu penting kerana bekas Perdana Menteri itu menyatakan beliau tidak berdendam, sekali gus telah membenarkan pemimpin lain menggantikannya sebagai Perdana Menteri.

“Muhyiddin mengatakan, walaupun berhadapan dengan pilihan di antara membubarkan Parlimen dan membuka jalan untuk pilihan raya selepas kehilangan majoriti di Parlimen, beliau menolak jalan pembubaran.

“Beliau sebaliknya mencadangkan nama Ismail Sabri dari Umno untuk memimpin sebagai perdana menteri baru dan antara sebabnya adalah beliau tidak mahu pembangkang, yang diketuai oleh Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berkuasa.

“Mungkin Muhyiddin patut menyatakan sama ada beliau akan terus menyokong Ismail Sabri sekiranya Bersatu dikalahkan sepenuhnya oleh Umno dalam PRN Melaka pada 20 November ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhyiddin dalam ucapannya di majlis PN, kelmarin menegaskan perlunya landskap politik negara berubah.

“Bahawa sejarah BN sudah berakhir. Sudah lama mereka melalui proses, sudah lebih enam dekad lamanya.

“Sekarang rakyat sudah berubah, pendirian mereka juga banyak terbuka disebabkan ilmu dan kemahiran, penguasaan teknologi maklumat memberikan banyak pengetahuan baru,” katanya.

Sementara itu Kit Siang mengakui tertarik dengan kenyataan Muhyiddin mengenai manifesto PH.

“Saya amat tertarik dengan ‘pengakuan’ Muhyiddin malam semalam kerana ia merupakan satu pengakuan pengkhianatan Muhyiddin terhadap manifesto PH untuk membina semula negara dan memenuhi harapan rakyat.

“Muhyiddin tidak pernah percaya kepada manifesto pilihan raya PH ini, manifesto ini hanyalah satu muslihat bagi beliau untuk menipu pengundi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here