NAMA calon Ketua Menteri Melaka bagi Perikatan Nasional (PN) diibaratkan seperti bom jangka yang akan meletup memusnahkan gabungan berkenaan jika diumumkan ketika ini.
Veteran DAP Lim Kit Siang, berpendapat keputusan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya akan mengumumkan calon berkenaan sehari sebelum hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dilihat cuba meneutralkan bom jangka itu.
“Muhyiddin memiliki bom jangka di Melaka, ketidakupayaannya untuk mengumumkan Datuk Mas Emieyati Samsuddin sebagai calon Bersatu untuk jawatan Ketua Menteri Melaka kerana bantahan keras dalam parti.
“Bolehkah Muhyiddin meneutralkan bom jangka ini di Melaka?” soal Kit Siang dalam kenyataan hari ini.
Kit Siang mendakwa PN sedang mempertimbangkan untuk memilih Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, sebagai calon jawatan berkenaan namun mendapat tentangan dari dalam.
Semalam, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata PN telah memutuskan calon bagi jawatan Ketua Menteri Melaka, namun hanya akan mengumumkannya sehari sebelum hari mengundi.
Nama lain yang disebut-sebut bagi jawatan berkenaan ialah Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.
Setakat ini PN masih belum mengumumkan calon Ketua Menteri mereka berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
BN menamakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk menyandang kembali jawatannya jika menang, manakala PH memilih Adly Zahari yang berkhidmat sebagai Ketua Menteri dari 2018 hingga 2020 sebagai calon gabungan itu. – Malaysiapost

