
KERAJAAN bersetuju membenarkan arak keluaran tempatan, Timah mengekalkan namanya, namun perlu menyertakan label tambahan bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai.
Menurut laporan Sin Chew Daily, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihak pengeluar Winepak Corporation Sdn Bhd dikehendaki menjelaskan maksud nama Timah.
Beliau berkata label tambahan perlu disertakan pada botol arak berkenaan bagi menjelaskan nama Timah merujuk kepada bijih timah.
Akhir bulan lalu Winepak bersetuju mempertimbangkan untuk menukar imej pada botol yang didakwa pengkritik sebagai menghina Islam atau mengelirukan umat Islam.
Bagaimanapun dilaporkan mesyuarat antara kementerian dengan wakil Winepak serta pegawai daripada Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) telah mencapai kata sepakat baru-baru ini.
“Melalui perbincangan itu, Winepak telah meminta selama seminggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarahnya untuk menukar nama dan imej jenama pada label wiski.
“Perkara itu antara persetujuan yang dicapai semasa mesyuarat semalam antara wakil syarikat dan kerajaan,” kata Alexander dalam kenyataan baru-baru ini.
Antara yang hadir termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad dan Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique. – Malaysiapost
