KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengakui tidak sukar berkempen untuk Calon Barisan Nasional (BN) Paya Rumput, Datuk Rais Yassin.
Menurut Asyraf Wajdi, sebagai anak jati Paya Rumput, Rais disifatkan sebagai individu yang amat rajin, dedikasi dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja yang mendekati beliau.
“Tidak sukar untuk berkempen nama beliau di PRN Melaka kali ini kerana beliau antara penggerak utama program #PemudaBantuRakyat terutamanya waktu PKP dahulu.
“Mohon pengundi-pengundi N.13 Paya Rumput dapat memberikan sokongan undi kepada adinda dan sahabat saya ini,” tulisnya di Facebook.
Menceritakan mengenai latar belakang Rais, Asyraf Wajdi berkata, calon berusia 37 tahun itu merupakan Ketua Pemuda Umno Tangga Batu merangkap Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.
Katanya, Rais juga fasih berbahasa Arab dan Inggeris kerana pernah belajar di Syria sebelum menyambung pengajian ke peringkah Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Azhar.
“Waktu mengiringi saya ke Persidangan Liga Negara Islam pada musim Haji Tahun 2019, beliaulah yang banyak membantu memudahkan urusan pentadbiran dan pengurusan dengan pihak Istana Arab Saudi.
“Pernah saya lantik sebagai Penolong Setiausaha Pemuda Umno Malaysia sebelum saya lantik beliau sebagai Setiausaha Bersama Pemuda Muafakat Nasional.
“Anak jati Paya Rumput ini saya akui seorang yang amat rajin, dedikasi dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja yang mendekati beliau,” katanya.
Terdahulu, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi kerusi DUN Paya Rumput menyaksikan saingan lima penjuru.
DUN itu juga bakal menyaksikan pertembungan dua calon bernama besar antara Rais dan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd.
Turut bertanding di DUN itu, calon Parti PUTRA, Mohamad Hashidi Mohd Zin; Muhammad Faris Izwan Mazlan (PN) dan calon Bebas, Mohd Jaini Dimon. – Malaysiapost

