IMAM kedua sebuah surau maut manakala seorang lagi jemaah parah dilanggar kereta yang hilang kawalan dipandu imam pertama surau di Taman Bukit Kajang, Kajang, awal pagi semalam.
Nahas kira-kira jam 6.30 pagi dalam pekarangan surau itu berlaku ketika mangsa yang juga pesara berusia 78 tahun dan rakannya yang juga pesara berusia 76 tahun baru selesai menunaikan solat Subuh berjemaah di surau terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa berada di pekarangan surau ketika dilanggar kereta jenis Perodua Myvi dipandu imam pertama itu.
“Ketiga-tiganya baru selesai solat Subuh dan mahu pulang ke rumah masing-masing di Taman Kajang Jaya.
“Dua mangsa berada di pekarangan surau ketika pemandu Perodua Myvi mengundurkan keretanya dari bahagian lot parkir sebelum terlanggar sedikit bahagian belakang sebuah kenderaan lain.
“Akibat pelanggaran itu, imam pertama berusia 76 tahun itu panik lalu menggerakkan kenderaannya ke hadapan sehingga hilang kawalan dan melanggar dua mangsa yang berada di hadapannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, dalam insiden tersebut imam kedua disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa patah lutut kanan dan patah pergelangan kaki kiri dikejarkan ke hospital dengan ambulans.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita meminta orang ramai sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika memandu kenderaan masing-masing.
“Bagi pemandu sudah berusia, mungkin ada keperluan untuk membuat pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka masih boleh mengendalikan kenderaan dengan baik,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Twitter/@redzuanNewsMPB

