PAS menampilkan anak muda yang bertenaga dan berjiwa rakyat sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N26 Serkam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Naib Presiden PAS Idris Ahmad, berkata calon berkenaan iaitu Ahmad Bilal Rahudin adalah anak tempatan yang dikenali oleh penduduk di kawasan terbabit.
“Beliau merupakan anak tempatan berkelulusan dari Universiti Yemenia Sanaa, Yaman. Ustaz Ahmad Bilal Rahudin, calon yang bertanding bagi mewakili Perikatan Nasional (PN).
“Insya-Allah tuan-tuan semua…berikan kepercayaan kepada anak muda kita…anak tempatan yang tinggalnya di Kampung Umbai.
“Saya yakin dan percaya 15,000 pengundi yang berada dalam DUN Serkam ini mengenali siapa itu Ustaz Bilal,” katanya dalam satu rakaman video kempen calon PN pada PRN Melaka yang dikongsikan di laman Facebooknya, hari ini.
Beliau turut kagum dengan semangat anak muda berkenaan yang sanggup turun ke lapangan politik demi membawa suara rakyat dan berkhidmat untuk mereka.
Ahmad Bilal, 38, adalah Ketua Pemuda PN Melaka dan juga Ketua Pemuda PAS akan bertanding membabitkan empat penjuru berdepan Norazlanshah Hazali (Bebas/IND), Muhammad Khomeini Kamal (PH – Amanah) dan Datuk Zaidi Attan(BN – Umno).
Kerusi N26 Serkam dimenangi Zaidi dengan majoriti 2,737 pada 2018. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Bilal Rahudin

