CALON Ketua Menteri Melaka bagi Perikatan Nasional (PN) hanya akan diumumkan selepas gabungan berkenaan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Ketua Penerangan Bersatu Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata ketika ini fokus utama adalah bagi memastikan lebih banyak kerusi dimenangi parti itu pada PRN Melaka.
“Di peringkat PN fokus kita adalah untuk memenangi PRN Melaka dahulu dan kemudian baru kita akan bincangkan dan umumkan (calon ketua menteri).
“Saya rasa kita serahkan urusan pelantikan dan penamanaan calon Ketua Menteri di peringkat kepimpinan tertinggi dan saya rasa tak sesuai kita dekat sini untuk umumkan sekarang,” katanya seperti dilapor Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media PN Negeri Melaka di Pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya, Melaka hari ini.
Menurutnya, PN telahpun mengadakan perbincangan sebelum ini mengenai siapa yang akan dinamakan sebagai Ketua Menteri.
“Sebenarnya perbincangan itu telah berlaku dan kita ada idea mengenai siapa yang akan dinamakan, tetapi saya rasa lebih baik sekiranya ia dibuat oleh kepimpinan tertinggi.
“Mungkin lebih sesuai kalau kita tunggu sekiranya ada pengumuman yang lebih menarik…kita tinggalkan sebagai misteri dulu buat masa ini,” katanya. – Malaysiapost

