BERMULA 1 Februari 2022, syarikat pengendali umrah yang mengiklankan pakej umrah tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ia selepas Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) bersetuju supaya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menguatkuasakan Peraturan 6(1A) (a), Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].
Peraturan tersebut menyatakan ‘Pengendali pelancongan berlesen tidak boleh mengiklankan pakej yang ditawarkan tanpa kelulusan Pesuruhjaya’.
Menerusi kenyataan hari ini, MOTAC menjelaskan penguatkuasaan peraturan pengiklanan pakej umrah adalah inisiatif bagi mengenalpasti iklan haram pakej umrah.
“Setiap iklan umrah yang diluluskan akan diberi Nombor Siri Khas iklan umrah yang perlu dipaparkan di iklan-iklan yang akan dipromosikan.
“Borang permohonan iklan ini boleh dimuat turun daripada laman sesawang www.motac.gov.my,” katanya.
Mesyuarat pertama sejak ditangguhkan kali terakhir pada 2018 itu dipengerusikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Sri Nancy Shukri hari ini.
MOTAC memaklumkan mesyuarat juga mendengar pandangan pemain industri mengenai cadangan untuk memperkasa industri umrah selari dengan perkembangan semasa.
“MOTAC akan sentiasa mendengar dan meneroka idea-idea baharu supaya kebajikan dan hak orang awam terjaga dalam melaksanakan ibadah umrah,” katanya. – Malaysiapost

