
SEBANYAK 70 peratus pengikut laman Twitter Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mahu kedai mamak kembali dibuka 24 jam.
Ia berbanding setakat tengah malam ketika ini susulan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengekang penularan Covid-19.
Berdasarkan undian dilaksanakan Khairy di Twitternya, sebanyak 30 peratus pula memilih tidak bersetuju, setakat sejam 15 minit undian dibuka.
Undian tersebut dibuka selama 24 jam sehingga petang esok.
Khairy berkata undian itu dilaksanakan sempena pelancaran Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) hari ini.
Tinjauan Malaysiapost di Twitter Khairy mendapati rata-rata netizen menyokong kedai mamak dibuka 24 jam kerana dapat memudahkan orang ramai mendapatkan makanan selepas jam 12 tengah malam.
Sirr Azad berkata, memang patut kedai mamak dibuka 24 jam kerana dapat mengurangkan kesesakan.
“24 hours is the way to go. Less crowd as well,” katanya.
SK2 @nella_gant87 pula berkata sekiranya kini terdapat kedai makan 24 jam, ia memudahkan orang ramai khususnya mereka yang bekerja untuk membeli makanan.
“Rasanya kena tengok bigger picture. Ramai juga pekerja night shift yang bergantung kepada kedai makan 24 jam sebagai ‘lunch’ bukan supper sebab untuk mereka, malam adalah siang,” katanya.
Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Agenda Nasional Malaysia Sihat atau ANMS.
Perdana Menteri berkata ia adalah pakej kesejahteraan kesihatan yang diteliti, dirancang dan seterusnya diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai penggerak utama dan disertai secara langsung oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Katanya, ANMS yang diterajui dua kementerian itu dan penglibatan kementerian atau agensi kerajaan lain, merupakan persediaan dan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mendepani dan mengharungi fasa endemik Covid-19. – Malaysiapost
