PERSIDANGAN Halal Kebangsaan 2021 (Sidang Halal) akan diadakan pada 23 November ini di Kompleks Islam Putrajaya yang bakal disertai seramai 1,000 usahawan dan pemain industri di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, berkata persidangan itu adalah antara komitmen kerajaan untuk mengangkat Malaysia sebagai peneraju industri halal.
Menurutnya, upacara perasmian Sidang Halal 2021 itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sidang Halal 2021 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah program yang julung kali diadakan dan merupakan kemuncak himpunan pemain industri halal di Malaysia ke arah memacu negara menjadi industri halal bertaraf dunia.
“Untuk itu, saya menjemput juga semua usahawan turut menyertai Sidang Halal 2021 secara online melalui Facebook Jakim,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Idris berkata salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) yang diletakkan di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sepanjang tempoh 100 hari adalah untuk memperkasa industri pensijilan halal Malaysia.

“Setakat hari ini, alhamdulillah kita telah menyelesaikan 75 peratus permohonan lengkap sijil pengesahan halal Malaysia dalam tempoh 30 hari bagi permohonan-permohonan yang tidak mempunyai teguran audit,” katanya. – Malaysiapost

