PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau serta partinya tidak turut serta dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, dakwaan pihaknya meletakkan calon proksi dalam pilihan raya berkenaan juga adalah tidak benar.
“Pejuang sebelum ini telah umum bahawa kami tidak akan turut serta di dalam PRN Melaka.
“Walau bagaimanapun saya dapat tahu ada sesetengah pihak cuba kaitkan Pejuang dan saya dengan individu tertentu yang bertanding sebagai calon bebas.
“Ingin ditegaskan sekali lagi, Pejuang dan saya tidak menyokong sesiapa di dalam PRN Melaka jauh sekali meletak calon proksi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berharap dengan penjelasan ini tidak lagi ada sesiapa yang akan cuba mengaitkannya, mahupun Pejuang dengan mana-mana calon yang bertanding.
Dalam sidang media pada 25 Oktober lalu, Dr Mahathir mengumumkan Pejuang tidak akan mengambil bahagian dalam PRN Melaka yang akan diadakan bermula 8 hingga 20 November ini.
Beliau menegaskan Pejuang bukan sahaja tidak bertanding, malah ahli-ahlinya juga tidak akan membantu pihak lain dalam pilihan raya itu.
Menurutnya, ia kerana kepimpinan Pejuang berpendapat PRN Melaka hanyalah mainan politik pihak tertentu serta tidak sepatutnya diadakan susulan wabak Covid-19 masih melanda negara. – Malaysiapost

