Pelajar UiTM positif Covid-19 pulang dari program anjuran BN

0
2

SEORANG pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu dilapor positif Covid-19 selepas hadir satu program di sebuah resort, didakwa dianjurkan Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman memaklumkan, ujian saringan telah diambil terhadap tujuh pelajar yang didakwa positif Covid-19 selepas hadir program tersebut.

“Semalam (kelmarin) dimakumkan ada tujuh orang simptomatik. Keputusan saliva mendapati seorang pelajar positif.

“UiTM mengambil tindakan mengasingkan semua yang hadir ke program itu.

“Seramai 40 orang disaring dan siasatan masih diteruskan,” katanya memetik MalaysiaNow.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan tujuh pelajar UiTM didapati positif Covid-19 selepas pulang daripada sebuah program anjuran BN Melaka pada 4 hingga 7 November.

“Semua pelajar tersebut pulang ke kampus pada 7 November selepas tamat program di Villa D Aqua, Masjid Tanah, Melaka.

“Bila pulang ke kampus, daripada berpuluh pelajar, tujuh didapati positif Covid-19,” tulis hantaran itu.

Hantaran itu turut memuat naik gambar yang diambil ketika program tersebut berlangsung.

Dakwa hantaran itu, keesokan harinya penyokong BN berkumpul di villa tersebut bersarapan pagi sebelum ke pusat penamaan calon untuk mengiringi Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Turut hadir pagi itu ialah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memberikan sokongan kepada Ab Rauf. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here