Datuk Vida rasa sendiri makan di kedai siakap ‘kayangan’

0
2

KISAH harga ikan siakap yang tular sejak beberapa hari lalu menarik minat usahawan kosmetik sensasi Datuk Seri Vida (DSV) untuk melihat sendiri keadaan restoran terapung yang dikatakan menawarkan harga ‘kayangan’ dalam menu hidangan.

Vida atau nama penuhnya Hasmizah Othman, 50, memuat naik video berdurasi 11 minit 56 saat di laman sosial menceritakan pengalamannya berkunjung ke Restoran Terapung Sas Rimba, Kilim Geoforest Park di Langkawi.

Dalam rakaman itu, pemilik restoran, Norasyikin Musa turut memberi penjelasan berkenaan isu tular membabitkan peniagaaannya sejak beberapa hari ini.

“Mereka tidak faham kerana ikan yang kita pelihara itu sudah berumur 11 tahun. Dalam jangka masa 11 tahun itu purata makanan yang diberi bernilai RM6,000.

“Kami hanya ikut harga dalam menu. 100 gram (g) RM16. Pesanan untuk anda di luar sana. Sebelum buat pesanan pastikan lihat menu, tengok kilogram (g), tengok ikan,” katanya.

DSV juga tidak melepaskan peluang menikmati hidangan makanan laut di restoran itu dan memuji ‘kesegaran’ isi ikan kerapu yang dipesan.

Menurut DSV lagi, bagi hidangan untuk tiga orang bernilai RM918.80 yang diterimanya adalah berbaloi dan sempat menitipkan kata-kata semangat kepada Norasyikin untuk terus cekal dalam perniagaan.

“Saya harap tiada lagi kata-kata tohmahan, andaian mengatakan tuan kedai cekik darah dan sebagainya. Saya makan kena RM900 dan dapat berbagai-bagai jenis lauk. Persekitaran juga cantik,” katanya.

Sebelum ini, DSV menawarkan diri membayar semula RM1,738 pada pelanggan yang memuat naik bil mereka ketika makan di restoran tersebut.

Bagaimanapun, wanita itu menolak dengan baik tawaran Vida dan mahu usahawan itu membelanjakan wang tersebut kepada mereka yang lebih memerlukan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here