SELAIN pertembungan dua finalis edisi 2019 antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT), saingan suku akhir Piala Malaysia 2021 turut menjanjikan aksi menarik melibatkan seteru Lembah Klang.
Bekas juara tiga kali, Kuala Lumpur City bakal berentap dengan juara 33 kali, Selangor FC pada aksi suku akhir piala berprestij itu.
Kedua-dua pasukan disahkan bertemu selepas tamat aksi terakhir peringkat kumpulan malam tadi dengan Kuala Lumpur City bergelar juara Kumpulan A, manakala Selangor FC naib juara Kumpulan B.
Sementara itu juara Kumpulan B, Terengganu FC bakal bertemu naib juara Liga Premier, Sarawak United yang muncul pasukan kedua terbaik Kumpulan A.
Dalam aksi malam tadi, Kuala Lumpur City menewaskan Sri Pahang 1-0, manakala Sarawak United tewas kepada Penang FC 1-2.
Sementara itu Selangor FC menewaskan Perak FC 2-1 dan Terengganu FC seri 1-1 menentang Kuching City FC.
Kelmarin Kedah memilih laluan sukar apabila tewas kepada Melaka United dalam saingan terakhir Kumpulan C sekali gus bakal bertemu juara Kumpulan D, JDT.
Melaka United pula berdepan naib juara Kumpulan D, Sabah FC.
Dalam saingan separuh akhir pemenang antara Selangor FC dan Kuala Lumpur City akan bertemu sama ada Melaka United atau Sabah FC.
Manakala pemenang antara JDT dan Kedah akan berdepan sama ada Terengganu FC dan Sarawak United. – Malaysiapost

