PAKATAN Harapan (PH) mengakui prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberi impak besar terutama pada amalan biasa pilihan raya dan demokrasi di Malaysia.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata situasi wabak hari ini memaksa pihaknya lebih bersikap waspada dan berdisiplin mematuhi peraturan serta SOP ditetapkan sepanjang tempoh berkempen.
“Namun, keadaan luar biasa saat ini memerlukan pendekatan baru yang semestinya luar biasa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya malam tadi.
Beliau berkata demikian selapas seharian bertemu warga setempat serta memberi dukungan dan semangat kepada calon-calon ditampilkan PH di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Berdasarkan pengamatannya, Anwar turut ingin menzahirkan keyakinan pada semangat serta ‘conviction’ ditonjolkan rakyat Melaka.
Katanya, ia memungkinkan satu pentadbiran yang benar-benar telus, yang hormat akan hak-hak rakyat berbilang kaum dan yang mampu memacu dan mengangkat kembali ekonomi negeri dalam kerangka besar melonjak negara ke era pasca wabak. – Malaysiapost

