Malaysia sambut baik kerjasama industri pertahanan dengan Indonesia – PM

0
2

MALAYSIA menyambut baik komitmen Indonesia sekiranya mahu menjalinkan kerjasama dalam industri pertahanan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keakraban selama 64 tahun dalam sektor pertahanan kedua-dua negara membawa pelbagai manfaat.

Menurutnya, antara kerjasama yang terjalin sebelum ini adalah melalui General Border Committee (GBC), Trilateral Cooperative Arrangement (TCA), ASEAN Defence Minister Meeting (ADMM) dan pelbagai lagi bentuk kerjasama.

“Industri pertahanan amat penting kepada kedua-dua negara. Saya menyambut baik komitmen Indonesia sekiranya mahu menjalinkan kerjasama dalam industri pertahanan.

“Saya meminta Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk melihat keperluan yang boleh dilakukan antara Kementerian Pertahanan dan Pindad,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke fasiliti pengeluaran produk ketenteraan dan komersil Indonesia milik PT Pindad, di Bandung, Indonesia, hari ini.

Menurutnya, lawatan itu disambut oleh Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto dan disertai oleh Hishammuddin dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Ismail Sabri berkata, Malaysia kini dalam fasa akhir penggubalan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) dan mengalu-alukan kerjasama dengan Komite Kebijakan Industri Pertahanan (KKIP) Indonesia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here