PAS akan terus beristiqamah dalam perjuangan politik dan kekal dengan prinsip untuk menyelamatkan ummah demi kesejahteraan bersama, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, istiqamah bersama PAS boleh menukar pemimpin, mengubah strategi dan pendekatan, namun perkara dasar, rukun dan hala tujunya tidak berubah dan tidak berganjak sekali-kali.
Beliau berkata, keadaan itu membolehkan parti berkenaan bersefahaman dengan semua pihak, demi menyelamatkan manusia bersama Islam yang adil kepada semua.
“PAS tidak bergantung kepada ahli falsafah dan ilmuwan tanpa berpandukan hidayah, malah tidak terpengaruh dengan media murahan tanpa harga diri.
“Sebaliknya, kami berpegang kepada perintah Allah SWT,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, PAS akan terus beristiqamah bersama Islam dalam memimpin perpaduan umat dan menyelamatkan mereka dalam sebuah Keluarga Malaysia.
Beliau berkata, Perlembagaan PAS dalam Fasal 7 telah menetapkan bahawa sebarang keputusan dan pendekatan parti itu tidak boleh melampaui hukum tertinggi iaitu al-Quran, Hadis, Ijma‘ para ulama’ yang muktabar dan Qiyas yang nyata.
“Bagi mengawasi sebarang tindakan agar tidak melampaui dalam perkara dasar dan rukun tersebut, maka PAS meletakkan Majlis Syura Ulama’ sebagai badan yang bertanggungjawab memelihara dan memantau.
“Ahli Majlis Syura Ulama’ pula dipilih daripada kalangan yang memenuhi syarat-syarat keilmuan Islam daripada kalangan ahli PAS. Mereka dipilih oleh para pemimpin yang telah dipilih oleh para perwakilan dalam Muktamar PAS Pusat,” katanya.
Menurutnya, bagi menjamin semua anggota terus beristiqamah, maka diwajibkan berbaiah dengan nama Allah SWT dan aqidah Islam kepada semua tugas penting dalam PAS seperti menjadi wakil rakyat dan sebagainya.
“Setiap ahli PAS yang ikhlas mempercayai bahawa sesiapa yang melanggar baiahnya akan menerima padah di dunia dan di akhirat. Bahkan, ahli PAS yang setia meyakini bahawa mereka yang khianat terhadap baiah itu pasti akan menerima padahnya.
“Kesimpulan daripada perkara yang disebutkan di atas menciptakan ciri-ciri bagi sebuah parti atau kumpulan Islam yang beristiqamah,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi turut meluahkan rasa syukur persidangan Muktamar Tahunan PAS yang diadakan baru-baru ini berjalan dengan lancar tanpa ada gangguan atau kritikan pihak lain. – Malaysiapost

