PRN Melaka: Kamarudin kunci mulut dakwaan tipu status pendidikan

0
2

PESURUHJAYA PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek mengambil pendekatan mengunci mulut bagi menjawab dakwaan kononnya beliau menipu status pendidikannya.

Beliau yang juga calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, berkata tiada sebarang kenyataan berhubung isu itu akan dikeluarkan pihaknya bagi menjelaskan status sebenar tahap pendidikan dirinya, buat masa ini.

Katanya, beliau mengambil pendekatan enggan memberi sebarang ulasan berkaitan perkara itu sehingga hampir hari mengundi.

“Saya tidak mahu menjawab dulu sehinggalah sampai dekat hari mengundi.

“Hal ini pernah dibangkitkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 13 dan PRU-14 sebelum ini, benda sama,” katanya seperti dilapor portal Melaka Hari Ini.

Beliau berkata, buat waktu ini fokusnya hanya kepada kempen menjelang 10 hari Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung.

“Fokus saya kini pada kempen dan menyelesaikan isu rakyat. Saya tiada isu lain seperti korupsi dan rasuah sepanjang 18 bulan dalam kerajaan, jadi isu ini berulang,” katanya.

Terdahulu, tular di Facebook pihak yang meminta Kamarudin untuk berterus terang dan jangan menipu dengan kelulusan Sarjana Muda Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar, yang tertera pada poster calon Perikatan Nasional (PN).

Status itu, turut meminta Kamarudin menunjukkan sijil sebagai bukti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here