MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) menganjurkan Program MARA Prihatin Bersama Komuniti Orang Asli di Surau Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak, hari ini.
Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dalam kenyataan, memaklumkan program berkenaan melibatkan agensi- agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
“Program menyaksikan penyerahan beberapa bentuk bantuan kepada komuniti dan pelajar masyarakat Orang Asli.
“Selain itu, penyerahan bantuan persekolahan kepada 278 orang pelajar anak Orang Asli oleh YPM dalam majlis sama,” menurut kenyataan itu.
YPM berkata, dalam program sama juga MARA Perak turut menyerahkan sumbangan bantuan kebakaran kepada dua keluarga serta penyerahan cenderahati kepada Surau Kuala Mu.
Dalam program itu juga, YPM turut menyumbang RM1,000 kepada Surau Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak untuk pembangunan pendidikan setempat, serta sumbangan naskah al-Quran dan buku terbitan YADIM.
“Majlis telah dilaksanakan di Surau Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak dengan kapasiti jemputan yang kecil dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat
“Kolaborasi antara agensi di bawah KPLB ini merupakan satu inisiatif bersama dalam merumuskan wawasan ‘Luar Bandar Yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik’ sebagai agenda utama dalam proses pembangunan luar bandar,” katanya.
Program itu dianjurkan MARA Negeri Perak, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak, GiatMARA Perak dan YPM.
Turut Hadir, Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin dan Pengarah MARA Perak, Lailatul Asmah Mohd Tahir. – Malaysiapost

