AKTIVITI keusahawanan luar bandar merupakan salah satu aktiviti utama yang dapat membantu membangunkan masyarakat kawasan luar bandar dalam era pemulihan pasca Covid-19.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, aktiviti keusahawanan luar bandar mampu meningkatkan kualiti kehidupan bagi invidividu, keluarga dan komuniti di luar bandar.
Justeru, beliau menegaskan, perlunya penekanan terhadap kepentingan untuk meningkatkan penggunaan internet dan teknologi digital bagi memastikan kelestarian dan ketahanan usahawan luar bandar dalam era pemulihan pasca Covid-19.
“Antara topik dibincangkan adalah cabaran usahawan luar bandar pasca Covid-19, pembudayaan aktiviti keusahawaan luar bandar bagi peningkatan ekonomi luar bandar, adaptasi ekonomi digital dalam keusahawanan luar bandar ke arah pembangunan inklusif dan pemulihan dan peningkatan daya tahan usahawan luar bandar pasca Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Forum Pemerkasaan Perusahaan Luar Bandar Mikro, Kecil dan Sederhana Peringkat ASEAN, hari ini.
Terdahulu hari ini Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui Institut Kemajuan Desa menganjurkan Forum Pemerkasaan Perusahaan Luar Bandar Mikro, Kecil dan Sederhana Peringkat ASEAN.
Forum tersebut dihadiri kira-kira 100 peserta terdiri pegawai kerajaan, NGO dan usahawan luar bandar daripada negara-negara ASEAN dan ASEAN Campur Tiga seperti Singapura, Thailand, Cambodia, Filipina, Jepun, China dan Malaysia.
Selain itu, Mahdzir berkata, beberapa usahawan luar bandar turut berkongsi pengalaman mendepani cabaran Covid-19 dan langkah pemulihan yang diambil untuk meneruskan perniagaan.
“Hasil daripada forum ini boleh digunakan oleh negara-negara ASEAN untuk merangka pelan pembangunan usahawan luar bandar di negara masing-masing terutamanya yang berkaitan dengan teknologi digital. – Malaysiapost

