Kerajaan perlu terus pujuk, rayu penjawat awam antivaksin berubah fikiran

0
1

KERAJAAN tidak harus mengambil pendekatan terlalu ‘rigid’ dalam menangani golongan penjawat awam yang antivaksin, kata Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Beliau berkata, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 mengenai Dasar Pelaksanaan Imunisasi Covid-19 Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan agak keras dan terlalu ‘rigid.’

Sehubungan itu, katanya, Pejuang Wilayah Persekutuan berpendapat kerajaan harus terus memberi penerangan serta memujuk golongan antivaksin secara berterusan, sistematik dan menyeluruh.

“Jangan kita cepat putus asa dengan golongan antivaksin dan terus hendak menghukum mereka.

“Kalangan ini mesti diberi kefahaman secara lebih mendalam untuk justifikasi kepentingan mengambil vaksin demi menjaga keadaan kesihatan diri sendiri mahupun orang ramai.

“Pengamal perubatan yang menjadi ahli Pejuang Wilayah Persekutuan akan menggerakkan inisiatif untuk menembusi golongan antivaksin seterusnya memberi kefahaman mengenai kepentingan mengambil vaksin covid-19,” katanya menerusi kenyataan.

Mengenai kemungkinan penjawat awam akan diambil tindakan disiplin atau ditamatkan perkhidmatan, Khairuddin berkata adakah ia hanya jalan penyelesaiannya dan apakah pula dari segi implikasi undang-undang selaras dengan doktrin ‘human rights’.

“Dalam isu ini Pejuang Wilayah Persekutuan ingin ambil pendekatan jalan tengah untuk terus berjumpa dengan golongan antivaksin ke arah memberi kefahaman berterusan mengenai kepentingan vaksinasi ini.

“Kadang kala penerangan mendalam dan kaedah pujuk rayu agak berkesan untuk kita mencapai matlamat menggalakkan semua pihak menyahut seruan vaksinasi diri demi kebaikan mahupun keselamatan keseluruhan rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here