Lima negeri beralih ke Fasa 4 PPN bermula Isnin ini

0
1

KERAJAAN bersetuju membenarkan lima negeri iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih ke Fasa Empat, Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Isnin ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini bersetuju untuk peralihan Fasa PPN dari Fasa Tiga ke Fasa Empat bagi Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah berkuatkuasa 8 November ini.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa Empat adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my.” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan beberapa ketetapan lain yang diputuskan antaranya adalah mengenai program vaksinasi untuk anak kapal di Pelabuhan Klang.

“Anak-anak kapal di bawah pengurusan Lembaga Pelabuhan Klang dibenarkan untuk mengambil suntikan vaksin semasa persinggahan di Pelabuhan Klang tertakluk kepada kelulusan KKM, Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Urusan penerimaan suntikan vaksin wajar dilaksanakan di atas kapal (onboard) bagi mengelakkan pergerakan berskala besar anak-anak kapal ke klinik atau fasiliti perubatan.

“Lembaga Pelabuhan Klang telah diminta mengemukakan keperluan maklumat lanjut seperti penganjur, bilangan anak kapal yang terlibat dan lain-lain yang berkaitan bagi program vaksinasi untuk anak-anak kapal di pelabuhan berkenaan,” katanya.

Menurutnya lagi, individu lengkap vaksin bagi semua peringkat umur dibenarkan memasuki stadium termasuklah semua fasiliti sukan berkuatkuasa 8 November 2021.

Beliau berkata, selain itu pengurusan stesen kuarantin hotel kini dipindahkan ke stesen kuarantin swasta yang telah disediakan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Kutipan kos operasi Covid-19 berjumlah RM2,600 per pengembara bukan warganegara dimansuhkan, manakala caj bagi stesen kuarantin masih berkuatkuasa pada kadar yang sama sebelum ini.

“Kos kuarantin bagi tujuh kumpulan warganegara Malaysia yang dikecualikan bayaran caj kuarantin ditanggung oleh Kerajaan dan pelaksanaan stesen kuarantin swasta ini bermula tujuh hari daripada tarikh diluluskan hari ini,” katanya.

Hishammuddin turut menyeru agar semua kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here