DAP umum tanding 8 kerusi DUN Melaka, perkenal 2 muka baharu

0
1
Logo DAP

DAP mengumumkan lapan calon yang akan bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan memperkenalkan dua muka baharu dan mengekalkan enam penyandang.

Calon-calon bagi parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu diumumkan oleh Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng, dalam satu majlis pengumuman secara maya, hari ini.

Guan Eng berkata, dua muka baharu yang akan bertanding dalam PRN Melaka pada 20 November ini adalah Muhamad Danish Zainudin, 25, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu dan Leng Chau Yen, 37, di DUN Bandar Hilir.

“DAP bertanding di lapan kerusi bagi PRN Melaka di bawah panji PH. Daripada lapan kerusi itu enam adalah kita kekalkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sama dan ada dua muka baharu.

“Calon-calon ini kita putuskan selepas mendapat syor dan cadangan daripada jawatankuasa di Melaka,” katanya.

Menurutnya, enam penyandang yang dikekalkan ialah G Saminathan bagi DUN Gadek, Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Damian Yeo Shen Li (Duyong), Tey Kok Kiew (Bemban) dan Low Chee Leong (Kota Laksamana)

Bekas ADUN Bemban, Dr Wong Fort Pin tidak mempertahankan kerusi DUN Bemban kali ini dan digantikan oleh Kok Kiew.

Guan berkata, DAP memberi laluan kepada Muhamad Danish sebagai muka baharu untuk bertanding di Pengkalan Batu yang sebelum ini dimenangi DAP tetapi kemudian wakil rakyat berkenaan melompat keluar daripada parti.

Menurutnya, seorang lagi calon baharu yang diketengahkan adalah Chau Yen yang juga pemimpin wanita DAP di Melaka.

Beliau mengakui  PRN kali ini akan dilalui dalam keadaan sukar berikutan kekangan pandemik Covid-19, namun DAP akan terus berusaha untuk bersama dengan pengundi bagi memastikan mendapat mandat untuk kerajaan PH.

“Kita akan bersama sebagai satu pasukan untuk memastikan mencipta satu sejarah di Melaka iaitu mendapat mandat kerajaan PH.

“Kita akan bertanding dalam keadaan yang amat sukar kerana tidak boleh berkempen langsung. Kita sukar untuk perkenalkan calon-calon dan apa perancangan untuk rakyat Melaka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here