PELAN Kualiti Pendidikan Awal Kanak-Kanak bagi Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang dilancarkan pada 2018 ternyata berkesan apabila pusat pembelajaran berkenaan diiktiraf terbaik setaraf tabika swasta.
Tabika KEMAS menerima anugerah ‘Trusted Brand of The Year 2020’ bagi kategori Pusat Pembelajaran Prasekolah Pilihan Pengguna di Malaysia oleh Reader’s Digest.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, anugerah itu juga membuktikan tenaga pengajar dan sistem pembelajaran pusat pembelajaran prasekolah itu diiktiraf terbaik.

Beliau berkata, tabika KEMAS sekali lagi mengulangi kegemilangannya setelah dianugerahkan Jenama Paling dipercayai oleh rakyat Malaysia pada 2020 dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Menurutnya, pengiktirafan itu berdasarkan undian atas talian yang dijalankan oleh pihak Reader’s Digest kepada hampir 8,000 orang responden mengenai pandangan mereka terhadap sistem pendidikan prasekolah di Malaysia.
“Aspek kualiti, inovasi, mutu dan tanggungjawab sosial, kebolehpercayaan, kredibiliti, kefahaman kehendak pengguna, menjadi kriteria yang ditetapkan oleh Reader’s Digest dalam keputusan kajiannya.
“Pengiktirafan itu juga susulan pelancaran Pelan Kualiti Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS pada 2018 yang menggariskan sembilan sembilan strategi utama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SPAK), KEMAS 2021 di Bangi, hari ini.
Mahdzir berkata, antara strategi berkenaan adalah menaiktaraf premis tabika dan taska KEMAS serta penambahbaikan kurikulum dan ko-kurikulum.
Katanya, strategi lain adalah peningkatan tahap profesionalisme guru dari aspek penggunaan Bahasa Inggeris serta meningkatkan penglibatan ibu bapa dan masyarakat dalam aktiviti pendidikan awal kanak-kanak.
“Kita telah memperuntukkan bajet sebanyak RM9.5 juta untuk baikpulih dan menaiktaraf bangunan tabika dan taska KEMAS demi untuk memberikan keselesaan kepada kanak-kanak untuk mengikuti pembelajaran.
“Kerajaan sentiasa menyedari akan kepentingan pendidikan prasekolah sejak di awal usia bagi membentuk asas jati diri dan sahsiah anak-anak dalam pembangunan masa depan negara,” katanya.
Beliau berkata, anugerah diperoleh itu juga adalah kesinambungan daripada pengenalan Program Transformasi Tabika Berprestasi Tinggi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 2016.
Sementara itu, terdahulu dalam majlis berkenaan seramai 418 pelatih berjaya menamatkan latihan dan menerima sijil SPAK KEMAS tahun ini.
Keseluruhan seramai 6,693 orang Pendidik Masyarakat tabika KEMAS dan taska Permata KEMAS telah mengikuti kursus SPAK dari 2009 hingga 2021. – Malaysiapost

