ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Sarawak kesal dengan keputusan kerajaan untuk menamatkan proklamasi darurat Sarawak lebih awal, bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12.
AMK dalam kenyataan berkata, situasi Sarawak berbeza dengan Melaka, negeri itu telah diberi ruang di bawah pengisytiharan darurat dan hanya perlu mengadakan PRN selepas 60 hari darurat yang sepatutnya ditamatkan pada 2 Februari tahun depan.
Justeru, katanya, PRN Sarawak tidak wajar dilaksanakan dalam masa terdekat kerana negeri itu belum pulih sepenuhnya daripada Covid-19 yang kini dilapor diancam varian baharu.
“Seperti yang dilaporkan dalam media kebelakangan ini, Sarawak masih diancam oleh penularan varian Delta.
“Melainkan dalam keadaan terdesak, aktiviti yang akan meningkatkan pergerakan dan pengumpulan orang ramai adalah sangat membahayakan.
“Oleh itu, adalah tidak wajar dan tiada keperluan terdesak untuk PRN diadakan pada masa terdekat ini memandangkan proklamasi darurat Sarawak sepatutnya berakhir pada bulan Februari 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan bersama itu membabitkan Ketua AMK Sarawak, Saifunnizam Sam dan Timbalannya, Chiew Choon Man.
Dalam pada itu, AMK Sarawak juga melihat bahawa alasan sebenar Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mengadakan PRN pada tahun ini adalah bertujuan bagi mengelak pelaksanaan Undi18.
Justeru, katanya, tindakan tersebut jelas menafikan hak golongan yang berada dalam lingkungan 18 hingga 20 daripada mengundi di PRN kali ini.
“Jadi, AMK Sarawak berpandangan tiada alasan lain mengapa GPS bertindak sedemikian kecuali takut dan gementar dengan undi anak muda,” katanya.
Malaj, AMK Sarawak turut kecewa terhadap Ketua Menteri Sarawak yang lebih mengutamakan percaturan politik daripada kepentingan rakyat dalam membuat keputusan untuk mengadakan PRN dalam masa terdekat ini.
“Ketua Menteri Sarawak gagal menunjukkan dirinya adalah berlainan daripada rakan sekutu mereka yang mencetuskan pilihan raya di Sabah dan Melaka demi agenda politik diri.
“Apa yang berlaku telah terjadi. Menurut Ordinan Darurat dan Perlembagaan Negeri Sarawak, PRN harus diadakan dalam 60 hari dari tarikh pembatalan proklamsi darurat.
“Justeru, AMK Sarawak merayu kepada seluruh rakyat negeri Sarawak agar lebih berhati-hati dalam menghadapi PRN kali ini.
“Sesungguhnya musuh kita yang sebenar bukanlah mana-mana individu atau kelompok politik, tetapi penyakit Covid-19 yang telah mendatangkan malapetaka kepada kita dalam dua tahun ini,” katanya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak terbubar susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menamatkan Proklamasi Darurat di negeri berkenaan, semalam.
Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata susulan itu Pilihan Raya Negeri (PRN) hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.
Menurutnya, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berhubung dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan Proklamasi Darurat semalam. – Malaysiapost

