YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan memperluaskan kebenaran majlis akad nikah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk maslahah umat Islam berkuatkuasa esok.
Susulan itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengeluarkan garis panduan pelaksanaan majlis akad nikah yang baharu bagi Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Berdasarkan garis panduan berkenaan, majlis akad nikah dibenarkan di pejabat JAWI, masjid-masjid dan premis sewaan sahaja dan tidak boleh dibuat di rumah kediaman.
“Jumlah kehadiran ke majlis akad nikah di Pejabat JAWI adalah maksimum 10 orang termasuk jurunikah dan dua saksi, manakala masjid jumlahnya maksimum 20 orang tertakluk kepada keluasan ruang majlis.
“Kehadiran di premis sewaan pula adalah 50 peratus keluasan dewan dengan penjarakan fizikal,” menurut garis panduan yang dikongsikan JAWI di laman Facebooknya, hari ini.
Garis panduan itu juga menetapkan kehadiran di majlis akad nikah hanya dibenarkan kepada yang telah lengkap menerima vaksin.
Sementara itu syarat khusus yang ditetapkan adalah pihak yang terlibat hendaklah membuat janji temu dengan JAWI Kuala Lumpur, Cawangan Putrajaya dan Labuan serta masjid-masjid terlebih dahulu bagi mendapatkan tarikh dan waktu akad nikah.
Pihak terlibat mestilah tidak mempunyai gejala; bukan kontak rapat kes positif Covid-19 atau di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO); serta bukan dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). – Malaysiapost

