Imigresen gempur hotel, pusat hiburan saji wanita warga asing

0
1

DUA premis membabitkan pusat hiburan dan hotel yang menyajikan pelacur dan pelayan pelanggan (GRO) wanita warga asing di kawasan Kuchai Lama, Kuala Lumpur dan Puchong, Selangor di serbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Serbuan Op Gegar yang dijalankan pada 1 November lalu itu berjaya menahan keseluruhan 33 wanita warga asing yang disyaki melakukan aktiviti pelacuran dan GRO serta empat lelaki dipercayai pekerja dan penjaga premis.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata operasi pertama dijalankan ke atas sebuah premis hotel bajet di Kuchai Lama yang menjalankan kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga asing.

“Hasil risikan mendapati premis ini dikunjungi pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan kerana harga yang ditawarkan agak tinggi bermula dari RM190 hingga RM240 bagi satu langganan.

“Pelanggan perlu memilih wanita dan membuat tempahan serta bayaran secara atas talian terlebih dahulu melalui aplikasi ‘Wechat’ dan ‘Telegram’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan 17 wanita terdiri daripada tujuh warga Thailand, empat Indonesia dan masing-masing seorang warga Myanmar, Laos serta Vietnam dan tiga lelaki Myanmar yang merupakan pekerja dan penjaga premis berjaya ditahan.

“Operasi kedua dijalankan di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor. Premis ini dikawal oleh ‘tonto’ sebagai pemberi maklumat, namun strategi ini berjaya dipatahkan dengan tindakan taktikal pegawai imigresen yang menjalankan serbuan.

“Semasa serbuan dijalankan, terdapat cubaan melarikan diri dan bersembunyi oleh wanita-wanita warga asing ini. Kesemua tindakan mereka gagal berikutan premis telah dikepung dan jalan-jalan keluar telah dikenal pasti lebih awal,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan JIM berjaya menahan 16 wanita warganegara Vietnam yang disyaki bekerja sebagai GRO dan seorang lelaki warganegara India yang merupakan pekerja di premis tersebut.

“Siasatan awal mendapati premis ini menawarkan GRO sebagai peneman minum dengan bayaran serendah RM50 dan turut menawarkan pakej bawa pulang GRO dengan harga berlainan.

“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya.

Beliau berkata, kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here