MANIFESTO Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dilancarkan sejurus selepas proses penamaan calon pada 8 November ini, katan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusof.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, berkata manifesto itu adalah satu tawaran baharu kepada rakyat di negeri berkenaan sekiranya BN diberikan mandat untuk membentuk kerajaan negeri.
“Sudah pasti manifesto ini dilihat sebagai satu tawaran baharu kepada rakyat Melaka untuk memberikan semula mandat kepada kami.
“Rakyat Melaka akan faedah daripada kerajaan yang stabil, makmur dan ada kredibiliti,” katanya dalam sidang media di Alor Gajah, Melaka, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan manifesto yang akan diumumkan kelak.
Ditanya mengenai calon yang akan dikemukakan BN dalam PRN Melaka, Ab Rauf memaklumkan semua pihak akan mengetahuinya pada hari penamaan calon.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa BN akan mengetengahkan lebih banyak muka baharu dari kalangan tokoh muda sebagai calon.
“Soal calon, kita tunggu hari penamaan calon tetapi saya jamin kali ini kebanyakannya adalah muka baharu dan tokoh muda yang akan kita ketengahkan,” katanya. – Malaysiapost

