Sajjad perlu pulang buktikan dianiaya, dicabul

0
1

USAHAWAN kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajjad, perlu pulang ke tanah air bagi membuktikan dia dianiaya dan dicabul oleh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) seperti yang didakwanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berpendapat ia perlu bagi membuktikan dakwaan berkenaan sekali gus membolehkan siasatan dilakukan.

Menurutnya, bagaimanapun pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan berhubung tomahan yang dibuatnya itu.

“Kita akan semak sama ada terdapat laporan dibuat oleh pihak jabatan agama atau Sajjad berhubung tomahan berkenaan.

“Kita menyiasat sama ada terdapat laporan polis dibuat Sajjad yang mengatakan dia dicabul dan juga laporan dibuat JAIS menafikan tomahan itu.

“Dan saya rasa lebih baik dia balik untuk buktikan dia dianiaya,” katanya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat JSJ, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Dalam program What’s Going On Malaysia? siaran langsung di Facebook pelawak Harith Iskander, pada 24 Oktober lalu, Sajjad mendakwa punca utama dia melarikan diri kerana tindakan JAIS yang seperti ingin menganiaya dirinya.

Menurutnya, dia merasakan pihak berkuasa itu ingin menghukumnya dengan hukuman berat walaupun kesalahan dilakukan bukanlah kesalahan jenayah berat.

Sajjad turut mendakwa ketika ditahan sebelum ini, pegawai JAIS mengambil kesempatan terhadapnya dengan merabanya dan di pusat tahanan pula dia ditempatkan bersama tahanan lelaki sedangkan dia sudah ‘transform’ sepenuhnya.

Sementara itu, Abd Jalil berkata PDRM masih belum mendapat pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Australia dan Thailand sama ada Sajjad sudah meninggalkan Thailand dan tiba di Australia

“Sajjad kita dapat tahu memang sudah di Australia, namun pengesahan daripada pihak berkuasa di negara berkenaan kita belum dapat lagi secara formal.

“Tetapi dia sendiri mengakui dia berada di Australia memang kita dah tengok banyak kali di media sosialnya.

“Secara rasmi yang kita hantar kepada kedutaan Australia dan menghantar makluman kepada kedutaan Thailand untuk buat pengesahan sama ada sudah keluar daripada Thailand dan sampai ke Australia masih belum dapat kata putus lagi,” katanya.

Ditanya sama ada PDRM akan terus cuba membawanya pulang ke tanah air bagi dibicarakan, beliau
memaklumkan akan cuba mengikut undang-undang yang ada di Australia.

“Kita akan menyalurkan maklumat-maklumat yang ada kepada pihak Australia, namun ini terpulang kepada hak dan kedaulatan undang-undang negara tersebut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here