Isu Rohingya: Malaysia terus jalin kerjasama dengan ASEAN

0
1
www.kln.gov.my

MALAYSIA akan terus menjalin kerjasama dengan negara lain, khususnya ASEAN bagi menangani isu pelarian Rohingya, kata Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaafar.

Beliau berkata, walaupun dengan keadaan sekarang yang berdepan dengan isu yang lebih besar iaitu konflik pemerintahan di Myanmar, namun usaha itu akan tetap diteruskan.

Katanya, isu penempatan pelarian Rohingya ke negara ketiga membabitkan 10 negara seperti Amerika Syarikat (AS), Australia, Kanada dan Jepun, sering diketengahkan oleh kerajaan.

“Dalam tempoh 18 tahun, kita hanya mampu hantar ke negara ketiga seramai 8,312 orang sahaja ke 10 buah negara antaranya Australia, Kanada, AS dan Jepun.

“Jadi hasilnya tak begitu membanggakan, kerana itu kita kena teruskan jalin kerjasama kuat dengan negara lain khususnya ASEAN,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria, yang bertanyakan tindakan dan usaha yang diambil Kementerian Luar Negeri bersama negara-negara ASEAN bagi menempatkan pelarian Rohingya di negara ketiga.

Kamarudin berkata, bagi menyelesaikan isu Rohingya, Malaysia juga sering kali menggariskan kepentingan ASEAN untuk menggesa Myanmar menangani krisis kemanusiaan di Wilayah Rakhine.

“Malah, Malaysia juga tegas menggesa Myanmar melaksanakan cadangan yang dikemukakan Asean-Emergency Response and Assessment Team (Asean-ERAT) dan melaksanakan Penilaian Keperluan Komprehensif (CNA).

Kredit Foto: kln.gov.my

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here