[PARLIMEN] PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu menasihati Perdana Menteri untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam mentadbir kerajaan dengan lebih tegas dan berani supaya tidak kelihatan seperti dikawal pihak lain.
Beliau berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini perlu mempunyai pendirian sendiri dalam melaksanakan keputusan dan tindakan, tanpa dipengaruhi pihak lain.
Katanya, pihak pembangkang dari Pakatan Harapan (PH) sudah memberi jaminan dengan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk tidak mengganggu kepimpinannya sepanjang tempoh sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Justeru, Mohamad Sabu berkata, dengan itu, Ismail Sabri mempunyai kuasa penuh dalam dasar pentadbiran negara, jadi beliau diharap tidak lemah, sebaliknya berani dalam membuat sebarang keputusan demi rakyat dan negara.
“Perdana Menteri hari ini adalah yang dilantik dan ada pula MoU dengan PH. Maknanya, Perdana Menteri ini tidak mungkin akan jatuh sehingga PRU akan datang.
“Tetapi, Perdana Menteri hendaklah berani kemukakan satu-satu perkara kerana dia tidak akan diusik (tak akan jatuh).
“Jangan lembik. Kena berani sikit. Jangan kita nampak Perdana Menteri kita ini macam dikawal oleh orang-orang tertentu,” katanya dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) serta diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, sehingga kini Ismail Sabri tidak membuat sebarang kenyataan sama ada jadi atau tidak PRN tersebut.
Katanya, disebabkan tiada penjelasan yang terperinci daripada Perdana Menteri mengenai prosedur operasi standard (SOP) sebenar bagi mengadakan kempen, akhirnya pihak berkenaan dikompaun RM10,000.
“Kalau nak buat (PRN), SOPnya macam mana? Sekarang ini hanya menteri yang bercakap pasal SOP. Bila kita jumpa menteri ini, dia kata boleh ceramah. Jadi, rakan kita dari PKR di Sabah adakan ceramah, tiba-tiba kena denda RM10,000.
“Perdana Menteri mesti tunjuk kuasanya, bukan kuasa nak tunjuk diktator tapi nak tunjuk kuasa untuk mengendalikan kerajaan ini,” katanya. – Malaysiapost

