PAKATAN Harapan (PH) perlu mengkaji semula Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama kerajaan kerana tiada ruang demokrasi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pendirian itu disuarakan bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berhubung tindakan kompaun RM10,000 dikenakan terhadap PKR kerana didakwa ingkar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan ceramah PRN Melaka, minggu lalu.
“PH perlu kaji semula MOU dgn kerajaan kerana tiada ruang Demokrasi di PRN Melaka.
“Malah mereka yg cuba buka ruang demokrasi untuk rakyat seperti YB DS @shamsuliskandar dikriminalisasi oleh kerajaan. MOU perlu dikaji semula bila natijahnya #DemokrasiKriminal,” katanya dalam ciapan di Twitter.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan prosedur SOP yang disifatkan sebagai ‘double standard’ atau berat sebelah dalam PRN Melaka.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara ini benar-benar berlaku apabila PKR Melaka menerima kompaun RM10,000.
“Benar-benar berlaku. (Ahli Parlimen) Hang Tuah Jaya (Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin) buat ceramah dalam ‘mobile unit’ (kenderaan bergerak) pancarkan secara maya kena RM10,000 denda.
“Tapi ada pimpinan dalam kerajaan papar dengan bangga dalam Facebook, melawat ke sana ke sini, dan sesak tak kena (kompaun). Ini ‘double standard’,” katanya. – Malaysiapost

