“Saya tidak boleh bayangkan, seterika wap jika kena tangan pun memang sakit” – Hakim

0
1

HAKIM Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah tidak dapat membayangkan seksaan dialami Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang ditekap dengan seterika wap.

Beliau menyifatkan kesemua tertuduh yang disabitkan atas kesalahan menyebabkan kematian penuntut berkenaan, sebagai pesalah muda yang tidak mempunyai belas kasihan.

Menurutnya, hukuman perlu dijatuhkan untuk memperlihatkan keperitan yang ditanggung oleh keluarga mangsa yang tidak mungkin dapat dipulihkan.

“Saya tidak boleh bayangkan, seterika wap jika kena tangan pun memang sakit. Kalau kena bahagian yang sensitif, saya tidak tahu bagaimana hendak kategorikan pelaku sedemikian,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman terhadap kesemua 18 tertuduh dalam kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, kejadian jenayah itu boleh dielakkan sebaliknya ia menjurus kepada tindakan yang tidak berfaedah kepada semua pihak termasuk keluarga mangsa.

Beliau berkata, para penuntut yang ketika itu berusia 21 tahun sepatutnya menyedari bahawa tindakan mereka memberi kesan kepada ahli keluarga masing-masing.

“Walaupun kita nampak pengecut, tidak mengapa demi ibu bapa walaupun setiap orang ada peluang untuk tunjuk lagak. Jangan fikir kawan tetapi fikirkan ibu bapa,” katanya.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguambela kesemua tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan latar belakang anak guam mereka yang merupakan penuntut cemerlang sejak alam persekolahan.

Pasukan peguambela menghujahkan, laporan akhlak daripada pihak penjara menunjukkan mereka berusaha memperbaiki diri ketika dalam tahanan manakala tempoh pemenjaraan yang panjang tidak sesuai.

Mahkamah turut diberitahu, tertuduh-tertuduh yang sebelum ini digantung oleh UPNM, tidak dapat menyambung pengajian kerana sabitan jenayah selain perlu membayar balik yuran kerana gagal menamatkan pengajian.

Sementara itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak bertolak ansur kerana walaupun mangsa tidak mengaku mencuri komputer riba dan menjerit supaya tidak ditekap dengan seterika wap, mereka tidak mengendahkan rayuannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here