Kematian Allahyarham Zulfarhan, kerajaan di desak adakan inkuiri terhadap UPNM

0
1

KERAJAAN digesa menjalankan inkuiri terhadap Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana gagal menghalang atau menyedari perbuatan kejam penuntutnya hingga mengakibatkan kematian Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Desakan itu dibuat oleh Pejuang Muda Malaysia siasatan dijalankan terhadap peranan yang dimainkan atau tidak dimainkan pihak keselamatan atau warden asrama universiti berkenaan serta mengenalpasti jika wujud kecuaian pihak pentadbiran.

Naib Ketuanya Nik Fathurahman Nik Rasli, berpendapat pihak berwajib tidak boleh lepas tangan serta harus sama-sama dipertanggungjawabkan dalam kes berkenaan.

“Pejuang Muda menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi keatas kesemua 18 tertuduh yang mana enam daripadanya didapati bersalah menyebabkan kematian Allahyarham Zulfarhan Osman tanpa niat membunuh.

“Situasi menakutkan yang terpaksa dihadapi Allahyarham dalam menghadapi seksaan dan penderaan ekstrim dari pelaku sehingga membawa kepada kematiannya amat menyedihkan serta menyayat hati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, rakyat keseluruhannya berasa amat dukacita dan marah pada masa sama.

“Kami ingin mendesak agar satu inkuiri diadakan bagi mengenalpasti punca bagaimana tindakan keji pelajar-pelajar ini tidak berjaya dihalang atau disedari oleh pihak universiti lebih awal sehingga menyebabkan kematian.

“Perkara ini penting bagi meningkatkan tahap keselamatan para pelajar serta menghalang insiden sama berlaku di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, harus diingatkan bahawa Allahyarham Zulfarhan meninggal dunia selepas 10 hari menderita keseorangan di bilik asramanya akibat didera tanpa disedari pihak universiti.

“Disamping itu, kami ingin menasihati orang ramai, khususnya kaum Muslimin, agar tidak berlaku syirik dengan mempercayai amalan-amalan khurafat seperti menggunakan khidmat ‘bomoh’ untuk apa-apa tujuan.

“Akhir sekali, kami berharap dengan keputusan mahkamah ini maka keluarga Allahyarham Zulfarhan mendapat keadilan serta pembelaan sewajarnya.

“Kami turut mendoakan keluarga Allahyarham terus tabah dan reda menghadapi dugaan serta dipermudah segala urusan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here