LIMA kluster baharu Covid-19 dilaporkan hari ini membabitkan tiga kluster tempat kerja dan masing-masing satu kluster pendidikan lain serta kluster komuniti.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiga daripada kluster berkenaan dikesan di Pahang, manakala dua lagi di Selangor dan Kuala Lumpur.
Menurutnya, kluster berkenaan adalah Kluster Jalan Tuanku Dua di Lembah Pantai, Kuala Lumpur membabitkan kluster tempat kerja dengan enam kes dikesan setakat ini.
“Kluster Industri Jalan KPB Sembilan, Hulu Langat di Selangor membabitkan kluster tempat kerja dengan 16 kes dikesan, manakala satu lagi kluster tempat kerja adalah Kluster Triang Bera, Pahang membabitkan 35 kes positif.
“Kluster pendidikan lain adalah Kluster Chengal Lempong, Kuantan dengan 12 kes dikesan dan kluster komuniti pula membabitkan Kluster Permatang Shahbandar, Maran dengan 13 kes dikesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, secara keseluruhan jumlah kluster yang direkodkan setakat ini adalah 5,781 kluster dengan 5,377 kluster telah tamat dan 404 kluster masih aktif.
“Kes sembuh adalah 5,372 kes (2,385,432 kes kumulatif) berbanding kes baharu iaitu 5,071 kes (2,481,339 kes kumulatif).
“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, 15 adalah kes import membabitkan 12 warganegara dan tiga bukan warganegara, manakala selebihnya 5,056 adalah kes tempatan babitkan 4,815 warganegara dan 241 bukan warganegara,” katanya
Dr Noor Hisham berkata, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 557 kes iaitu 498 kes disahkan Covid-19, 59 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.
“Kes memerlukan bantuan pernafasan pula adalah 300 kes (207 kes disahkan Covid-19, 93 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan),” katanya.
Sementara itu, menurutnya, daripada 5,071 kes harian yang dilaporkan hari ini, 121 kes atau 2.4 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 4,950 kes atau 97.6 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua. – Malaysiapost

