Lelaki dipercayai pukul wanita hingga mati ditahan

0
1

SEORANG lelaki yang juga orang dalam pengawasan polis ditahan susulan penemuan tulang kaki manusia dalam keadaan tidak sempurna dan reput di tepi Sungai Jebong, Kuala Sepetang di Taiping pada 27 Oktober lalu.
Lelaki itu ditahan pada 29 Oktober lalu selepas polis menemui bahagian badan lain mangsa yang sudah reput dalam bungkusan kain yang ditanam di kawasan berhampiran penemuan kaki berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman, berkata bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kematiannya.
“Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki yang merupakan orang pengawasan polis (OPP) selepas didapati melanggar syarat pengawasan di bawah Seksyen 15 (4) Akta Pencegahan Jenayah 1959 pada 29 Oktober lalu.
“Hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku telah bergaduh dengan seorang wanita ketika berada di sebuah rumah dan bertindak memukul mangsa hingga mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anuar berkata, suspek kemudiannya membawa pihak polis ke lokasi di mana mangsa dibunuh dan ditanam.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini direman sehingga 6 November untuk siasatan lanjut.
“Kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat bagi arahan selanjutnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here