KETUA Pemuda PAS, Senator Ir Khairil Nizam Khiruddin menzahirkan ucapan selamat berbahas kepada semua perwakilan sempena Muktamar Pemuda PAS yang berlangsung hari ini.
Mengangkat tema Memacu Perpaduan, beliau berkata ia menzahirkan aspirasi Pemuda PAS untuk berjiwa negarawan dan menjadikan agenda wehdah sebagai faktor kritikal dalam peralihan spektrum politik abad ke-21 yang semakin kompleks dan dinamik.
“Dalam ucaptama kali ini, saya telah menyentuh beberapa perkara termasuk Prinsip Utama Penyatuan Rakyat Malaysia, Geoekonomi Politik Dunia, Inovasi Pentadbiran dan Politik Pemuda PAS, Penjenamaan Semula Ekonomi Anak Muda,
“…Perubahan Landskap Politik Tanah Air (undi-18), Persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dan Mencetak Kepimpinan Pemuda PAS,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Khairil Nizam berkata, beliau berharap semoga gagasan yang dicadangkan itu menjadi saksi perjuangannya dalam karier politiknya.
“Selamat berbahas kepada semua perwakilan. Ayuh pemuda PAS di seluruh negara, sama-sama kita memacu perpaduan demi Islam!,” katanya. – Malaysiapost

