SUSULAN pengoperasian semula sekolah secara berperingkat sejak 3 Oktober lalu, fokus Kementerian Pendidikan (KPM) selepas ini adalah menangani isu kekurangan guru.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata ia antara struktur asas dalam sektor pendidikan yang perlu diberi tumpuan dan diperkasakan semula.
“Alhamdulillah, hasil perancangan rapi KPM, sektor pendidikan kini ‘bernafas’ semula dengan bermulanya pengoperasian sekolah secara berperingkat pada 3 Oktober lepas.
“Fokus saya dan KPM ketika ini dan tempoh berikutnya adalah untuk memastikan struktur asas dalam sektor pendidikan diberi tumpuan dan diperkasakan semula, antaranya menangani isu kekurangan guru.
“Saya harapkan guru-guru dapat bersama-sama menjadi peneraju merealisasikan setiap perancangan KPM dalam memperkasakan sektor pendidikan menuju fasa endemik Covid-19,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya lewat malam tadi.
Beliau sebelum itu menghadiri sesi libat urus bersama warga pendidik di daerah Masjid Tanah di Melaka.
Radzi berkata selain soal pengoperasian sekolah dan perkembangan terkini sektor pendidikan, beliau juga berkongsi mengenai cabaran KPM dalam memastikan bidang pendidikan terus berperanan semasa negara mula berhadapan pandemik Covid-19.
“Terima kasih atas sambutan baik warga pendidikan Masjid Tanah! Saya hargai kesudian anda melapangkan masa untuk hadir sesi ini. KPM komited melakukan yang terbaik,” katanya. – Malaysiapost

