PRN Melaka: PAS yakin PM mampu elak pertembungan 3 penjuru

0
1
grafik

PAS Melaka yakin Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu merealisasikan usaha mengelak pertembungan tiga penjuru antara Umno, PAS dan Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Kamarudin Sidek, berkata sebelum ini PAS sentiasa cuba mengelak perkara itu berlaku kerana ia akan merugikan masyarakat Melayu dan Islam.

“Kita menyambut baik kenyataan Perdana Menteri itu kerana sememangnya ingin melihat penyatuan Melayu dan Islam itu bukan sekadar retorik.

“Jika semua pihak berusaha ke arah itu, Insya-Allah umat Melayu dan Islam mampu menjadi kesatuan yang kukuh dan disegani di peringkat antarabangsa,” katanya memetik BH Online.

Beliau berkata, komitmen Ismail Sabri bakal menjadikan hasrat PAS ingin melihat satu lawan satu antara Barisan Nasional/Perikatan Nasional (BN/PN) menentang Pakatan Harapan (PH) sebagai satu kenyataan.

Semalam, Ismail Sabri dilaporkan berkata, Umno dan BN akan berusaha mengelak pertembungan tiga penjuru antara parti dalam kerajaan, termasuk dengan Bersatu pada PRN Melaka.

Katanya, beliau kini sedang menjalankan rundingan dengan PAS dan Bersatu bagi memastikan pertembungan sesama sendiri pada pilihan raya dapat dielak serta bagi menentukan bentuk kerjasama pada PRN Melaka selaras mandat yang diberikan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Kamarudin berkata, perbincangan pembahagian kerusi antara PAS dengan Bersatu Melaka setakat ini mencapai 90 peratus dan bakal dimuktamadkan beberapa hari lagi.

Bagaimanapun, beliau mengakui belum ada lagi perbincangan secara formal antara PAS dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi PRN Melaka.

“Sementara menunggu perbincangan secara formal dengan Umno, PAS sudah menyusun strategi dan gerak kerja bagi memastikan jentera parti bersedia menghadapi PRN,” katanya.

Kelmarin, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan mencadangkan PN menggunakan logo PAS pada PRN Melaka.

Bagaimanapun, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, berkata ia adalah pandangan peribadi Tuan Ibrahim, tetapi PN sudah mencapai kesepakatan untuk menggunakan hanya logo PN dalam PRN Melaka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here