PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat Melaka agar menebus kembali kesilapan dilakukan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) melalui Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau yang juga Presiden Umno berkata, Malaysia kehilangan kestabilan politik, ekonomi rakyat dan negara merosot, serta perpaduan masyarakat merundum selepas PRU14.
Menurutnya, rakyat pula dituduh pemalas, malah diminta ikat perut dan jangan terus mengharapkan bantuan kerajaan, selain hubungan diplomasi dengan negara luar juga terjejas dan hasil negara di jarah dengan kroni-kroni kembali mengaut kekayaan.
“Lebih menyedihkan sejarah Malaysia mahu diubah, hak keistimewaan Bumiputera cuba diganggu-gugat. Perlembagaan Negara diperkotak-katik, institusi diraja tidak dihormati, kedaulatan undang-undang dicemari.
“Kemudian demokrasi digantung demi mengekalkan kuasa dan kedudukan dengan alasan pandemik.
“Peringatan ini bukan bertujuan menghina sesiapa, tetapi sebagai fakta dan panduan untuk rakyat Melaka membuat ‘redemption’,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, rakyat Melaka perlu menebus semula jaminan masa hadapan dan kestabilan yang mutlak bersama BN.
“Dan kita ingatkan juga sepanjang tempoh itu apa yang BN lakukan untuk melawan kebejatan berkenaan. Apa yang BN dan para pimpinannya terpaksa harungi demi mempertahan masa depan rakyat dan negara.
“Sekali lagi kita ingatkan kembali kepada rakyat Melaka apa yang berlaku selepas 9 Mei 2018. Apakah natijah Malaysia ditadbir oleh kerajaan yang ditubuhkan berasaskan fitnah, pembohongan dan tipu daya.
“Apakah akibat ditadbir sebuah kerajaan yang dibarisi oleh mereka yang hanya pandai ‘berlakon’ dan berjanji,” soalnya.
Ahmad Zahid berkata, sesungguhnya tiada keberkatan pembentukan kerajaan seperti itu kerana pada akhirnya kebenaran pasti terserlah.
“Orang Melaka akan membuktikan rakyat Malaysia tidak lagi boleh dimanipulasi dan akan mengembalikan kerajaan BN,” tegasnya. – Malaysiapost

